Pages

Friday, January 4, 2008

Bercerita mengenai pekerjaan..antara kelulusan dan keadaan semasa

Mula-mula buat blog ni, aku nekad nak tulis blog disini setiap hari. Kononnya antara salah satu azam yang ingin dipenuhi iaitu, "Buat sesuatu jangan separuh jalan sahaja." tetapi tetap juga tertinggal beberapa hari. Sebenarnya, aku bukan sengaja melakukan begitu. Akan tetapi ia adalah disebabkan kekurangan idea untuk menulis dan merasakan bahwa aku tidak dapat menulis sesuatu dengan baik ketika itu. Aku tidak mahu menulis ketika perasaan sendiri tidak mahu menulis kerana yang akan terhasil pada tulisan itu hanyalah kebosanan. Jika aku yang menulis sedang kebosanan, apatah lagi yang membacanya. Ada ke orang membaca blog aku ini..? Ehmm.. Persoalan yang baik untuk diri sendiri. Jawapannya, ketika terlintas di benakku untuk membuat blog ini, ia bertujuan sekadar hanya untuk meluahkan pendapat aku sendiri terhadap perjalanan kehidupan seharian aku. Agar aku menyedari perkembangan yang berlaku didalam mindaku. Bagaimana aku berfikir setiap hari, bagaimana aku bermonolog dengan diri sendiri, bagaimana aku berkomunikasi dengan persekitaran dan bagaimana berfikir untuk bertindak. Dengan cara ini ia akan membantu aku melihat bagaimana minda aku berkembang seharian melalui tulisan di blog ini. Kita tidak menyedari bagaimana minda kita membesar kerana ia sesuatu yang tersirat dan juga amat sukar diungkai dengan kata - kata atau dilihat oleh orang lain dengan mata kasar. Atas alasan atau tujuan itu, aku tidak akan menulis di kala diri sendiri kebosanan dan tidak mempunyai minda yang bernas untuk bermonolog dengan diri sendiri.
Hari ini aku mendapat satu lagi pandangan dari seorang senior yang aku rasa agak bagus untuk difikirkan berkali - kali. Katanya setiap orang ni ada tahap masing - masing. Sebagai contoh, jika kita berada di peringkat SPM, aplikasi dalam kehidupan kita adalah berbeza dengan mereka yang di tahap diploma. Begitu seterusnya. Jika kita berada di tahap diploma, aplikasi kita tidak sama dengan ijazah. Tetapi apabila kita berada dalam perkerjaan, aplikasi kita dah hampir sama malah yang berada di tahap diploma mungkin setahap dengan ijazah jika mereka yang berada di tahap ijazah tidak kreatif atau cukup bijak mengaplikasi kehidupannya dengan kelulusan yang dimiliki. Aku berfikir berkali - kali dan aku merasakan pandangannya boleh diterima logik akal. Aku memahami apa yang ingin aku sampai tetapi bagaimana dengan mereka yang membaca blog ini..? Mungkin aku tidak cukup bijak lagi dalam mengolah kata - kata.
Dalam hidup ini jangan terlalu banyak kekesalan. Jika terlalu banyak kekesalan, seringkali kita mengata bahwa 'aku ini bernasib malang'. Mana ada orang yang bernasib malang. Cuma rezeki untuk kita belum menjelma dan kerana itu sebagai umat islam, 'sabar separuh daripada iman'. Jika kita bersabar dan pegang serta ingat dn amalkan, kita akan percaya bahwa rezeki untuk kita tetap ada. Jika sesuatu itu hilang, percaya bahwa itu bukan rezeki kita dan jangan dikesalkan kerana akan wujud juga rezeki kita. Dan kita akan menjadi seorang yang redha.

No comments: